
Kesemua orang Islam sama ada lelaki mahupun perempuan dikenakan kompaun atau denda kerana telah mendedahkan aurat di khalayak ramai terutamanya perempuan sebanyak RM500 seorang. Adakah perkara ini akan menyedarkan masyarakat Islam di negara kita khususnya? Sejauh manakah kepatuhan orang Islam tentang perkara ini jika ia dilaksanakan? Jika mereka takut apabila melakukan kesalahan ini dikenakan kompaun adalah jelas mereka itu lebih takut kepada manusia daripada ALLAH yang menjadi Hakim dan menetapkan segala peraturan di muka bumi ini untuk dipatuhi. Adakah pemimpin kita sanggup untuk melaksanakan peraturan ini? Adalah mustahil bagi saya. Sudah tentu ramai yang akan dikenakan kompaun. Dalam tajuk ini, saya hanya ingin menimbulkan persoalan-persoalan ini. Kerana terdedahnya aurat macam-macam boleh terjadi. Kita fikir-fikirkanlah...

Dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, dilaporkan bahawa seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam telah dikenakan kompaun sebanyak RM500 dalam satu operasi tutup aurat kerana tidak menutup aurat dengan sempurna. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam kerana telah berjaya melaksanakan tugas ini. Saya teringat ketika saya mengaji di Kelantan, di sana memang cukup baik kerana hampir semua golongan wanita memakai tudung. Saya agak kagum juga dengan negeri ini. Tetapi, yang menyakit hati saya apabila terdapat segelintir wanita tidak menutup aurat dengan sempurna terutamanya golongan peniaga dan pekerja pasar raya. Bertudung sekadar menutup kepala memadai untuk menutup aurat? Ini amat menyedihkan juga. Memang patutlah kompaun dikenakan kepada mereka tersebut. Adalah tidak relevan bandar raya ini diiktiraf sebagai bandar raya Islam jika tidak dilaksanakan peraturan seperti ini. Kalau di negeri saya, Sarawak adalah jauh sekali hendak melaksanakan peraturan seperti ini. Persoalannya, 'Adakah pelaksanaan ini cukup untuk menyedarkan masyarakat Islam kita?'

Antara petikan ataupun laporan yang dipaparkan dalam Akhbar Kosmo pada 21 Disember 2009 adalah seperti berikut:

KOTA BHARU - Seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada operasi tutup aurat di sini malam kelmarin.
Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, mereka dikenakan tindakan tersebut kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.
Menurutnya, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 (pindaan 2002).
Jelas beliau, penguatkuasaan larangan mendedah aurat itu dikenakan kepada golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bandar ini tanpa mengira waktu.
"Operasi itu diadakan selepas mendapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.
Mereka yang dikenakan tindakan itu didapati tidak memakai tudung kepala, memakai kemeja-T berlengan pendek dan ketat serta berseluar panjang ketat.
Untuk makluman anda semua, anda boleh mengunjungi laman web ini http://www.fiqhmalaysia.com ataupun klik pada pautan ilmiah blog saya yang berjudul 'Wacana Fiqh Malaysia' untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang aurat wanita.
Read More...