Terjemahan pertama al-Quran dalam bahasa Iban akan mula diterbitkan tahun depan bagi membantu golongan penutur bahasa tersebut memahami kitab suci Islam itu.
Projek penerbitan itu dimulakan dengan terjemahan edisi muqaddam, kemudian diikuti teks lengkap al-Quran pada 2011, kata pengerusi kumpulan syarikat PTS.
Ainon Mohd juga berkata terjemahan tersebut akan menjadi naskhah lengkap terjemahan al-Quran dalam bahasa etnik terbesar di Sarawak.
"Terjemahan ini menggunakan bahasa Iban laras halus, sebagaimana yang digunakan oleh penutur aslinya. Belum ada lagi naskhah sedemikian," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
"Justeru, individu keturunan Iban yang berminat mengetahui isi kandungan al-Quran memang mengalami masalah tiada bahan rujukan.
"Bukan semua orang Iban mampu membaca dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Lagipun membaca dalam bahasa ibunda lebih mudah difahami," kata bekas pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu lagi.
Tambahnya, sasaran utama bagi penerbitan yang diusahakan PTS Darul Furqan Sdn Bhd itu antaranya golongan muallaf yang bertutur dalam bahasa tersebut.
"Iban adalah bahasa kaum bumiputera yang terbesar di Sarawak, oleh itu kami dapati ada pasaran niche bagi buku-buku dalam bahasa Iban," katanya dalam wawancara melalui emel.
"Golongan yang akan mendapat manfaat paling baik daripada penerbitan buku ini nanti adalah individu keturunan Iban yang sudah memeluk Islam, atau mereka yang mungkin akan memeluk Islam kerana mempunyai rancangan berkahwin dengan pasangan Islam.
"Namun kita yakin, masyarakat Iban yang tidak berminat dengan Islam pun tetap akan mendapat manfaat apabila membacanya kerana mereka akan dapat memahami dengan betul perbezaan-perbezaan pelbagai aliran agama di Malaysia."
Ainon menunjukkan satu contoh terjemahan al-Quran itu seperti dimuatkan di blog peribadinya Universiti PTS.
Ayat 1 dan 2 surah al-Asr dalam bahasa itu berbunyi: "Enggau nama Allah petara ti pemadu manah serta ti pemadu penyayau. Allah petara ti siko besumpah enggau ari. Semua anak mensia nyadi rugi.”
(Maksudnya: Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh)
Ainon menjelaskan, projek dengan kos percetakan RM30,000 itu akan meluaskan penyebaran al-Quran dalam apa juga bahasa di dunia.
Tambahnya, 3,000 naskah muqaddam dan 3,000 lagi teks al-Quran bagaimanapun belum diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Pihak KDN dan Jakim boleh menubuhkan kumpulan penyemak dengan menggunakan khidmat guru agama keturunan Iban, ahli akademik, dan pendakwah lulusan aliran pengajian Islam yang boleh membaca dan mamahani bahasa Iban," katanya lagi.
Naskhah terjemahan tersebut akan dihantar kepada KDN dan Jakim untuk semakan sebelum proses percetakan, tambahnya.


Antara petikan ataupun laporan yang dipaparkan dalam Akhbar Kosmo pada 21 Disember 2009 adalah seperti berikut:

KOTA BHARU - Seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada operasi tutup aurat di sini malam kelmarin.
Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, mereka dikenakan tindakan tersebut kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.
Menurutnya, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 (pindaan 2002).
Jelas beliau, penguatkuasaan larangan mendedah aurat itu dikenakan kepada golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bandar ini tanpa mengira waktu.
"Operasi itu diadakan selepas mendapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.
Mereka yang dikenakan tindakan itu didapati tidak memakai tudung kepala, memakai kemeja-T berlengan pendek dan ketat serta berseluar panjang ketat.
Untuk makluman anda semua, anda boleh mengunjungi laman web ini http://www.fiqhmalaysia.com ataupun klik pada pautan ilmiah blog saya yang berjudul 'Wacana Fiqh Malaysia' untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang aurat wanita.

