Terjemahan pertama al-Quran dalam bahasa Iban akan mula diterbitkan tahun depan bagi membantu golongan penutur bahasa tersebut memahami kitab suci Islam itu.
Projek penerbitan itu dimulakan dengan terjemahan edisi muqaddam, kemudian diikuti teks lengkap al-Quran pada 2011, kata pengerusi kumpulan syarikat PTS.
Ainon Mohd juga berkata terjemahan tersebut akan menjadi naskhah lengkap terjemahan al-Quran dalam bahasa etnik terbesar di Sarawak.
"Terjemahan ini menggunakan bahasa Iban laras halus, sebagaimana yang digunakan oleh penutur aslinya. Belum ada lagi naskhah sedemikian," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
"Justeru, individu keturunan Iban yang berminat mengetahui isi kandungan al-Quran memang mengalami masalah tiada bahan rujukan.
"Bukan semua orang Iban mampu membaca dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Lagipun membaca dalam bahasa ibunda lebih mudah difahami," kata bekas pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu lagi.
Tambahnya, sasaran utama bagi penerbitan yang diusahakan PTS Darul Furqan Sdn Bhd itu antaranya golongan muallaf yang bertutur dalam bahasa tersebut.
"Iban adalah bahasa kaum bumiputera yang terbesar di Sarawak, oleh itu kami dapati ada pasaran niche bagi buku-buku dalam bahasa Iban," katanya dalam wawancara melalui emel.
"Golongan yang akan mendapat manfaat paling baik daripada penerbitan buku ini nanti adalah individu keturunan Iban yang sudah memeluk Islam, atau mereka yang mungkin akan memeluk Islam kerana mempunyai rancangan berkahwin dengan pasangan Islam.
"Namun kita yakin, masyarakat Iban yang tidak berminat dengan Islam pun tetap akan mendapat manfaat apabila membacanya kerana mereka akan dapat memahami dengan betul perbezaan-perbezaan pelbagai aliran agama di Malaysia."
Ainon menunjukkan satu contoh terjemahan al-Quran itu seperti dimuatkan di blog peribadinya Universiti PTS.
Ayat 1 dan 2 surah al-Asr dalam bahasa itu berbunyi: "Enggau nama Allah petara ti pemadu manah serta ti pemadu penyayau. Allah petara ti siko besumpah enggau ari. Semua anak mensia nyadi rugi.”
(Maksudnya: Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh)
Ainon menjelaskan, projek dengan kos percetakan RM30,000 itu akan meluaskan penyebaran al-Quran dalam apa juga bahasa di dunia.
Tambahnya, 3,000 naskah muqaddam dan 3,000 lagi teks al-Quran bagaimanapun belum diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Pihak KDN dan Jakim boleh menubuhkan kumpulan penyemak dengan menggunakan khidmat guru agama keturunan Iban, ahli akademik, dan pendakwah lulusan aliran pengajian Islam yang boleh membaca dan mamahani bahasa Iban," katanya lagi.
Naskhah terjemahan tersebut akan dihantar kepada KDN dan Jakim untuk semakan sebelum proses percetakan, tambahnya.


Antara petikan ataupun laporan yang dipaparkan dalam Akhbar Kosmo pada 21 Disember 2009 adalah seperti berikut:

KOTA BHARU - Seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada operasi tutup aurat di sini malam kelmarin.
Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, mereka dikenakan tindakan tersebut kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.
Menurutnya, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 (pindaan 2002).
Jelas beliau, penguatkuasaan larangan mendedah aurat itu dikenakan kepada golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bandar ini tanpa mengira waktu.
"Operasi itu diadakan selepas mendapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.
Mereka yang dikenakan tindakan itu didapati tidak memakai tudung kepala, memakai kemeja-T berlengan pendek dan ketat serta berseluar panjang ketat.
Untuk makluman anda semua, anda boleh mengunjungi laman web ini http://www.fiqhmalaysia.com ataupun klik pada pautan ilmiah blog saya yang berjudul 'Wacana Fiqh Malaysia' untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang aurat wanita.
Sebelum kita mendalami tajuk ini, adalah lebih elok kita mengenali makna manusia dan istilah-istilah yang disebutkan dalam al-Quran. Terdapat banyak istilah bagi manusia dalam bahasa Arab yang disebut dalam al-Quran. Antaranya: al-Insan (rohain dan jasmani), al-Nas (rohani dan jasmani), al-Basyar (makhluk jasmaniah), dan Bani Adam. Manusia diciptakan dalam dua bentuk atau keadaan iaitu jasmani dan rohani. Penciptaan manusia melalui beberapa peringkat iaitu:
- ath-Thin (tanah)
- an-Nutfah
- al-'Alaqah
- al-Mudhghah
- al-'izhom
- al-Lahmu
- Manusia
Hadis riwayatAbdullah bin Masud ra., ia berkata: Rasulullah saw. sebagai orang yang jujur dan dipercayai bercerita kepada kami: Sesungguhnya setiap individu kamu mengalami proses penciptaan dalam perut ibunya selama empat puluh hari (sebagai nutfah). Kemudian menjadi segumpal darah ('alaqah) selama itu juga kemudian menjadi segumpal daging (mudhghah) selama itu pula. Selanjutnya Allah mengutus malaikat untuk meniupkan roh ke dalamnya dan diperintahkan untuk menulis empat perkara yaitu: menentukan rezekinya, ajalnya, amalnya serta apakah ia sebagai orang yang sengsara atau orang yang bahagia. Demi Zat yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya salah seorang dari kamu telah melakukan amalan penghuni syurga sampai ketika jarak antara dia dan syurga tinggal hanya sehasta sahaja namun kerana sudah didahului takdir sehingga ia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya salah seorang di antara kamu telah melakukan perbuatan ahli neraka sampai ketika jarak antara dia dan neraka tinggal hanya sehasta saja namun karena sudah didahului takdir sehingga dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga
(SAHIH MUSLIM)
Penciptaan manusia ini adalah suatu keajaiban tanda kekuasan ALLAH yang Maha Kuasa. Setiap sesuatu yang diciptakan ada tujuannya. Bukannya diciptakan tanpa tujuan termasuklah penciptaan manusia. Kenapa kita sebagai manusia diciptakan? Manusia diciptakan adalah untuk menjadi abdullah dan khalifah. Manusia dijadikan sebagai abdullah iaitu hamba kepada ALLAH untuk menundukkan diri dan patuh kepada ALLAH. Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku."Manusia juga diciptakan sebagai khalifah di muka bumi dan perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud:
(adz-Dzaariyaat:56)
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi."......"Khalifah ini boleh diertikan sebagai pemimpin dan pengganti. Pemimpin ini merujuk kepada seseorang yang berperanan memakmurkan, memelihara dan mempergunakan alam ini. Khalifah diertikan sebagai pengganti kerana dikatakan wujud makhluk sebelum manusia yang menjadi perosak alam. Maka, manusia dikatakan penggantinya. Pengganti adalah kurang sesuai dijadikan sebagai pengertian khalifah dan hanya sesuai menggunakan 'pemimpin'. Setiap manusia tidak boleh lari daripada tugas dan fungsinya sebagai khalifah (pemimpin) di muka bumi ini. Manusia bertanggungjawab untuk memakmurkan alam ini daripada kebinasaan , kesengsaraan dan peperangan. Manusia juga bertanggungjawab untuk memelihara alam ini daripada hancur, musnah dan rosak untuk digunakan. Manusia juga bertanggungjawab untuk mempergunakan alam ini sebagai kegunaan seharian di muka bumi ini. Maka, manusia boleh merancang segala perancangan untuk melaksanakan tugas-tugasnya ini.
(al-Baqarah:30)
Untuk menjadi seorang khalifah yang benar-benar memahami tugasnya dan melaksanakannya, seseorang itu perlulah memiliki ilmu yang merangkumi ilmu alam, ilmu sosial dan ilmu agama. Selain daripada memiliki ilmu, manusia juga perlu mempunyai moral atau akhlak yang terpuji. Adakah kita sudah memiliki kesemuanya? Ingatlah! Setiap manusia yang dilahirkan pasti memerlukan ilmu untuk dirinya melaksanakan tugas sebagai khalifah dan adalah tidak memadai dengan memiliki ilmu sahaja. Bahkan perlulah seseorang itu memiliki moral dan akhlak terpuji.
Manusia mempunyai banyak potensi dan boleh dibahagikan kepada 2 aspek iaitu: jasmani dan rohani. Dari aspek jasmani, manusia berpotensi untuk bergerak dan berpindah ke mana sahaja yang dikehendaki. Dari aspek rohani, manusia mempunyai akal untuk mencari kebenaran, nafsu untuk memenuhi dorongan dan keinginan dan hati untuk memandu manusia itu mengawal perasaan sama ada menjadi baik ataupun buruk. Maka, segala potensi ini haruslah dikembangkan untuk melaksanakan amanah sebagai khalifah.
Kesimpulannya, manusia adalah makhluk yang sempurna diciptakan dengan tujuan menjadi sebagai abdullah dan khalifah. Potensi seseorang itu tidak akan berkembang apabila ia tidak dilaksanakan dengan pendidikan.
Blog oh blog... Saya rasa terpanggil untuk membina dan memiliki blog peribadi. Bila sahaja saya melayari intranet, saya tidak lupa untuk mengunjungi blog-blog peribadi, sama ada blog yang dimiliki ustaz-ustaz ataupun sahabat-sahabat. Saya berkata: "Wah! Cantik sungguh blog ini. Menarik juga blog ini. Memang hebatlah empunya blog ni wat blog.. Saya? Bila pulak?" Seringkali juga saya berfikir, "Perlukah saya memiliki sebuah blog peribadi? Kalau ada blog ni, untuk apa ye?" Ia sentiasa menjadi persoalan saya kepada diri saya. Blog oohh blog.. Setiap kali mengunjungi blog orang lain, pasti akan timbul persoalan ini dalam fikiran saya. Saya tidak tahu hendak menjawabnya. Akhirnya, saya cuba sedaya upaya saya untuk membina blog pribadai sendiri. Walau bagaimanapun, disebabkan ketandusan idea suatu ketika untuk menamakan blog ini dan juga memikirkan isi kandungan dalam blog ini agak sukar bagi saya, saya terpaksa mengalah dan berputus asa. Saya berhenti daripada pembikinan blog ini buat sementara waktu atau selama-lamanya.
Setelah lama meninggalkan pembikinan blog peribadi saya, persoalan sebelum ini kembali semula dalam fikiran saya dan pada ketika itu, tiba-tiba datangnya suatu semangat dan dorongankepada saya untuk memiliki sebuah blog peribadi sendiri. Blog oohh blog.. Kau menghantui pemikiranku lagi.. Hanya sekadar cuba, cuba dan cuba diiringi dengan semangat diri, saya menyambung pembikinan blog peribadi saya sehingga memeningkan kepala. Apa tidaknya. Memilih nama dan reka bentuk blog yang sesuai untuk dipaparkan. Tambahan pula, memikirkan tentang isi kandungan blog ini. Walaupun begitu, berbekalkan kepada ketabahan saya menghadapinya, terbina juga sebuah blog peribadi saya.
Tentang nama blog ini, pada mulanya, saya menamakannya sebagai blog 3MIM yang bermaksud mu'allim, murabbi dan muaddib (ingin menjadi guru yang berperanan sebagai ketiga-tiga nama ini) Nampak terlalu ringkas namanya, tetapi sangat bermakna bagi saya. Saya berusaha juga mencari idea lagi. Alhamdulillah, dapat juga nama yang sesuai dan tidak lari daripada nama asal. Nama blog ini telah diambil daripada akronim 'M.I.M'. Tercatatlah sebuah blog yang dinamakan sebagai 'Minda Intelektual Muslim'. Terpulanglah kepada anda untuk menilainya.
Untuk pengetahuan anda, tujuan saya membina blog 'Minda Intelektual Muslim' adalah bukan sekadar berkongsi pengalaman semata-mata. Bahkan ingin berkongsi idea dan ilmu yang saya miliki dan sekaligus menjadi medan dakwah untuk diri saya dan pengunjung-pengunjung blog ini. Diharapkan agar saya dipermudahkan untuk mencapai tujuan ini. Mudah-mudahan blog ini bermanfaat untuk diri saya dan juga pengunjung-pengunjung. Insya-ALLAH.
Segala yang baik itu disandarkan kepada ALLAH, segala yang buruk itu disandarkan kepada saya sendiri dan hakikatnya, kedua-duanya datang daripada ALLAH.


