preload


Selamat Datang ke http://nashr-sarawaqi.blogspot.com dan Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini!


Pernahkah terlintas di fikiran kita sebagai makhluk yang bergelar manusia dengan persoalan -persoalan ini. Apakah itu manusia? Daripada apakah manusia itu diciptakan? Mengapakah manusia diciptakan di muka bumi ini?
Sebelum kita mendalami tajuk ini, adalah lebih elok kita mengenali makna manusia dan istilah-istilah yang disebutkan dalam al-Quran. Terdapat banyak istilah bagi manusia dalam bahasa Arab yang disebut dalam al-Quran. Antaranya: al-Insan (rohain dan jasmani), al-Nas (rohani dan jasmani), al-Basyar (makhluk jasmaniah), dan Bani Adam. Manusia diciptakan dalam dua bentuk atau keadaan iaitu jasmani dan rohani. Penciptaan manusia melalui beberapa peringkat iaitu:
  1. ath-Thin (tanah)
  2. an-Nutfah
  3. al-'Alaqah
  4. al-Mudhghah
  5. al-'izhom
  6. al-Lahmu
  7. Manusia
Terdapat banyak hadith yang menyebut tentang penciptaan manusia. Salah satu daripadanya adalah seperti berikut:

Hadis riwayat Abdullah bin Masud ra., ia berkata:
Rasulullah saw. sebagai orang yang jujur dan dipercayai bercerita kepada kami: Sesungguhnya setiap individu kamu mengalami proses penciptaan dalam perut ibunya selama empat puluh hari (sebagai nutfah). Kemudian menjadi segumpal darah ('alaqah) selama itu juga kemudian menjadi segumpal daging (mudhghah) selama itu pula. Selanjutnya Allah mengutus malaikat untuk meniupkan roh ke dalamnya dan diperintahkan untuk menulis empat perkara yaitu: menentukan rezekinya, ajalnya, amalnya serta apakah ia sebagai orang yang sengsara atau orang yang bahagia. Demi Zat yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya salah seorang dari kamu telah melakukan amalan penghuni syurga sampai ketika jarak antara dia dan syurga tinggal hanya sehasta sahaja namun kerana sudah didahului takdir sehingga ia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya salah seorang di antara kamu telah melakukan perbuatan ahli neraka sampai ketika jarak antara dia dan neraka tinggal hanya sehasta saja namun karena sudah didahului takdir sehingga dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga
(SAHIH MUSLIM)


Penciptaan manusia ini adalah suatu keajaiban tanda kekuasan ALLAH yang Maha Kuasa. Setiap sesuatu yang diciptakan ada tujuannya. Bukannya diciptakan tanpa tujuan termasuklah penciptaan manusia. Kenapa kita sebagai manusia diciptakan? Manusia diciptakan adalah untuk menjadi abdullah dan khalifah. Manusia dijadikan sebagai abdullah iaitu hamba kepada ALLAH untuk menundukkan diri dan patuh kepada ALLAH. Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku."
(adz-Dzaariyaat:56)
Manusia juga diciptakan sebagai khalifah di muka bumi dan perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi."......"
(al-Baqarah:30)
Khalifah ini boleh diertikan sebagai pemimpin dan pengganti. Pemimpin ini merujuk kepada seseorang yang berperanan memakmurkan, memelihara dan mempergunakan alam ini. Khalifah diertikan sebagai pengganti kerana dikatakan wujud makhluk sebelum manusia yang menjadi perosak alam. Maka, manusia dikatakan penggantinya. Pengganti adalah kurang sesuai dijadikan sebagai pengertian khalifah dan hanya sesuai menggunakan 'pemimpin'. Setiap manusia tidak boleh lari daripada tugas dan fungsinya sebagai khalifah (pemimpin) di muka bumi ini. Manusia bertanggungjawab untuk memakmurkan alam ini daripada kebinasaan , kesengsaraan dan peperangan. Manusia juga bertanggungjawab untuk memelihara alam ini daripada hancur, musnah dan rosak untuk digunakan. Manusia juga bertanggungjawab untuk mempergunakan alam ini sebagai kegunaan seharian di muka bumi ini. Maka, manusia boleh merancang segala perancangan untuk melaksanakan tugas-tugasnya ini.

Untuk menjadi seorang khalifah yang benar-benar memahami tugasnya dan melaksanakannya, seseorang itu perlulah memiliki ilmu yang merangkumi ilmu alam, ilmu sosial dan ilmu agama. Selain daripada memiliki ilmu, manusia juga perlu mempunyai moral atau akhlak yang terpuji. Adakah kita sudah memiliki kesemuanya? Ingatlah! Setiap manusia yang dilahirkan pasti memerlukan ilmu untuk dirinya melaksanakan tugas sebagai khalifah dan adalah tidak memadai dengan memiliki ilmu sahaja. Bahkan perlulah seseorang itu memiliki moral dan akhlak terpuji.

Manusia mempunyai banyak potensi dan boleh dibahagikan kepada 2 aspek iaitu: jasmani dan rohani. Dari aspek jasmani, manusia berpotensi untuk bergerak dan berpindah ke mana sahaja yang dikehendaki. Dari aspek rohani, manusia mempunyai akal untuk mencari kebenaran, nafsu untuk memenuhi dorongan dan keinginan dan hati untuk memandu manusia itu mengawal perasaan sama ada menjadi baik ataupun buruk. Maka, segala potensi ini haruslah dikembangkan untuk melaksanakan amanah sebagai khalifah.

Kesimpulannya, manusia adalah makhluk yang sempurna diciptakan dengan tujuan menjadi sebagai abdullah dan khalifah. Potensi seseorang itu tidak akan berkembang apabila ia tidak dilaksanakan dengan pendidikan.















  • 0 comments:

    • Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kenali Diri Saya

Foto Saya
Dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 24 Mac 1987 dan dinamakan Nasruddin bin Muhamad Tajudin. Merupakan anak keempat daripada enam adik-beradik. Sekarang sedang meneruskan pengajian dalam Sarjana Muda Pendidikan Islam di Universiti Malaya.